Anggota Parlimen Bagan Serai Keluar PKR


03 Mac, 2010 14:53 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima tamparan apabila kehilangan seorang lagi anggota Parlimen setelah anggota Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri, mengumumkan keluar parti itu pada Rabu.

Mohsin Fadzli, 65, turut mengumumkan peletakan semua jawatannya dalam PKR serta menjadi anggota Parlimen bebas berkuatkuasa serta-merta.

Pengumuman Mohsin Fadzli itu menjadikan tiga anggota Parlimen parti itu keluar parti dalam tempoh kurang sebulan selepas Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru) dan Tan Tee Beng (Nibong Tebal).

Mohsin Fadzli berkata tindakan beliau itu adalah kerana hilang keyakinan terhadap perjuangan dan matlamat politik PKR dan gagasan Pakatan Rakyat khususnya dalam mengembalikan kedudukan politik dan kedaulatan Islam di negara ini.

"Saya sangat khuatir dengan aktiviti dan kegiatan politik yang diamalkan oleh PKR dan Pakatan Rakyat khususnya peringkat negeri Perak akhir-akhir ini yang sangatlah membimbangkan.

"Aktiviti politik yang menghalalkan pelbagai cara demi suatu matlamat yang sempit, serangan tanpa batasan terhadap semua institusi negara seperti institusi Diraja, badan kehakiman dan penguatkuasaan, termasuk meraih sokongan negara luar menyerang kedaulatan negara," katanya membacakan kenyataan dua muka surat pada sidang media di sini.

Mohsin Fadzli berkata pendirian PKR berhubung isu kalimah Allah tidak boleh diterimanya kerana beranggapan perbuatan itu umpama menghalalkan perbuatan mensyirikkan kalimah Allah.

Beliau juga kecewa dengan kepalsuan rancangan "16 Sept" Pakatan Rakyat untuk mengambilalih pucuk pimpinan negara yang mendakwa 30 anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) akan lompat parti.

Selain dari itu, katanya parti itu dilihat mengamalkan politik "ghonimah" atau "rampasan perang" di mana kuasa, kedudukan dan habuan menjadi rebutan di kalangan pemimpin parti sehingga mengorbankan matlamat perjuangan untuk umat, rakyat dan agama.

"Perbuatan khianat, tikam belakang, sabotaj dan budaya politik fitnah memfitnah semakin menjadi parah dalam parti sehingga menyebabkan saya tidak melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai anggota Parlimen yang diamanahkan oleh Allah," kata Mohsin Fadzli.

Beliau juga mendakwa beberapa kali membangkitkan masalah itu dalam saluran dalaman parti tetapi tiada tindakan positif diambil menyebabkan keadaan menjadi semakin parah.

Dalam sidang media yang turut dihadiri bekas Setiausaha Agung PKR Datuk Sallehudin Hashim, Mohsin Fadzli berkata tugas dan tanggungjawabnya sebagai anggota Parlimen turut dikhianati dan disabotaj oleh anggota parti sendiri.

"Bukan sahaja saya tidak diberi sebarang pembelaan, sebaliknya saya diaibkan dan dicemuh di khalayak ramai, dan yang paling malang, mereka yang khianat dan tidak amanah ini diberi pangkat, jawatan dan kedudukan dalam pentadbiran kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat dan dalam parti," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim secara peribadi malahan menganggap Ketua Pembangkang itu seperti adiknya sendiri.

"Namun, hubungan akrab dan peribadi tidak boleh menjadi alasan untuk mengetepikan akidah dan prinsip perjuangan yang saya yakini," katanya.

Ketika ditanya adakah beliau bersedia untuk dikritik oleh anggota parti dan penyokongnya, Mohsin Fadzli berkata beliau sentiasa bersedia dan membiarkan rakyat untuk menilai tindakannya itu.

Selain Mohsin Fadzli, Zahrain dan Tan, bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin turut meninggalkan parti itu.

Mohsin Fadzli, Zahrain dan Tan tidak bercadang menyertai mana-mana parti manakala Mohammad Fairus telah menyatakan hasrat menyertai UMNO.

Isnin lepas, Salehuddin meramalkan seramai 10 anggota parlimen parti itu akan keluar parti dalam masa terdekat.

Di PETALING JAYA, 12 anggota Parlimen PKR pada Rabu menyuarakan sokongan penuh mereka terhadap parti itu sekaligus menyelar spekulasi keluar parti seperti yang didakwa dalam laman-laman blog.

Anggota Parlimen Teluk Kemang Datuk Kamarul Baharin Abbas yang mewakili anggota-anggota Parlimen tersebut berkata kesemua mereka masih berpegang teguh terhadap pucuk kepimpinan parti itu.

"Kami mengambil ketetapan sekeras-kerasnya menolak dakwaan bahawa kami akan meninggalkan parti sepertimana yang dispekulasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab semata-mata untuk mengganggu kesatuan dan perpaduan dalam parti," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di Tropicana pada Rabu.

Pada sidang media itu, 10 anggota parlimen hadir manakala dua lagi iaitu Anggota Parlimen Kelana Jaya Gwo-Burne Loh dan N.Gobalakrishnan dari Padang Serai tidak hadir kerana masing-masing mempunyai urusan di luar kawasan.

Mereka yang turut hadir Ahmad Kassim (Kuala Kedah), Yusmadi Yusoff (Balik Pulau), S.Manikavasagam (Kapar), Datuk Rashid Din (Merbok), Azan Ismail (Indera Mahkota), Hee Loy Sian (Petaling Jaya Selatan), Abdullah Sani Abdul Hamid (Kuala Langat), Ab Aziz Ab Kadir (Ketereh) dan Amran Ab Ghani (Tanah Merah).

Mengulas mengenai tindakan anggota yang keluar parti, Kamarul Baharin berkata kemungkinan ia disebabkan masalah peribadi yang tidak dimaklumkan kepada pimpinan parti.

"Saya tak menduga kemungkinan itu (masalah peribadi) menjadi tugas kepimpinan parti untuk ambil tahu. Tapi kalau masalah berkaitan dengan parti, saya ingat parti tidak mengabaikan tanggungjawab," katanya.

Sementara itu, Yusmadi berkata PKR perlu melihat dan memperbaiki segala kesilapan memandangkan tindakan keluar parti sering berlaku.

-- BERNAMA

FAIRUS SERTAI UMNO

Bekas Adun PKR Penanti Fairus sertai Umno

Datuk Seri Mohd Najib Razak (kanan) diberikan penerangan oleh Yang DiPertua Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia (PSSGM), Datuk Adiwijaya Abdullah (dua kanan) dengan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Utama Mohamad Hasan di majlis Perjumpaan Kepimpinan Tertinggi PSSGM. — Bernama pic
TERKINI

KUALA LUMPUR, 28 Feb — Bekas timbalan ketua menteri I Pulau Pinang Mohd Fairus Khairuddin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang meletakkan jawatannya April tahun lalu, menyertai Umno hari ini.
Keputusan beliau menyertai Umno diumumkan selepas menghadiri Perjumpaan Kepimpinan Tertinggi Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Bersama Perdana Menteri Malaysia yang turut dihadiri Datuk Seri Najib Razak.
Terdahulu Fairus dengan berpakaian ahli Pertubuhan Silat Seni Gayong menyambut ketibaan Najib, yang juga Presiden Umno, di lobi hotel tempat berlangsungnya majlis itu.
Fairus menyertai Umno kira-kira dua minggu selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengumumkan beliau antara lapan kes berprofil tinggi bebas tuduhan rasuah.
Beliau pernah disiasat kerana dakwaan rasuah melibatkan syarikat kuari di Seberang Perai.
Fairus, 33, meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti berkuat kuasa 16 April tahun lalu.
Fairus keputusan melepas jawatan Adun bagi membolehkan beliau memberi tumpuan penuh terhadap usahanya melanjutkan pelajaran ke pascasiswazah dan sekali gus memberikan masa kepadanya untuk bersama dengan keluarga yang selama ini terpaksa berkorban dalam memenuhi tugasannya.
Beliau juga merupakan bekas Pengerusi Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi, Penerangan dan Perhubungan Masyarakat Pulau Pinang.
Fairus dalam ucapannya pada majlis itu berkata, beliau membuat keputusan selepas mengambil kira perkembangan sepanjang tiga bulan lalu khususnya selepas tercetusnya isu kalimah “Allah”.
Beliau mendakwa pendirian yang dibuat oleh PKR, salah satu komponen Pakatan Rakyat, amat mendukacitakan dan tidak menyenangkan kerana bertentangan dengan perjuangan parti.
“Saya akhirnya mendapat petunjuk yang sangat jelas dan saya dengan ini atas prinsip mempertahankan agama dan kepentingan rakyat, hari ini saya membuat pengisytiharan untuk keluar PKR dan menyertai Umno,” katanya yang menyampaikan ucapan khas sebelum Najib mula berucap.
Najib dalam ucapannya pula berkata atas nama Presiden Umno beliau menyambut penyertaan Fairus, yang menurutnya telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan PKR ke dalam Umno.
“Oleh itu atas nama Presiden Umno, anak muda bernama Fairus akan diterima dengan senang hati (ke dalam Umno) kerana saya tahu beliau mengambil keputusan atas soal prinsip, atas nama perjuangan... mahu menjadi anggota Umno.
“Oleh itu kita kena jaga beliau dengan baik, beliau boleh memainkan peranan kepada parti, bangsa dan agama,” katanya.
Pada majlis ini Fairus juga menandatangani borang menyertai ahli Pertubuhan Silat Seni Gayong dan Umno secara rasmi.