Mereka itu 'Firaun Kecil'...saya sedia tinggalkan parti kata Zul Nordin







**Agendadaily:




Ahli Parlimen PKR Kulim Bandar Bharu, Zulkifli Nordin menyifatkan Ahli Parlimen PAS Shah Alam Khalid Samad dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Zaid Ibrahim sebagai Firaun Kecil yang mempertikaikan pendiriannya berhubung dengan kalimah Allah.

Sehubungan itu beliau menegaskan, jika sampai kepada peringkat beliau perlu keluar parti dalam mempertahankan kalimah suci Allah, beliau sedia berbuat demikian.

“Mereka ini bagi saya adalah Firaun Kecil . Dalam Isu Islam tidak ada kompromi apatah lagi soal kalimah Allah membabitkan soal akidah.

“Walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta saya menarik balik laporan polis terhadap Khalid Samad kerana menyifatkan ia adalah perbezaan pendapat tetapi saya tegaskan kepadanya, kenyataan Khalid bukan perbezaan pendapat tetapi penghinaan kepaa Islam.

“Dalam soal Zaid Ibrahim yang mahu saya dipecat dari parti, saya tidak berminat melayan politikus hinggusan dan opportunis macam dia. Saya hendak bertanya apakah pendirian dia tentang hudud, kerana dulu dia pernah saman kerajaan Kelantan kerana hendak laksanakan hudud.

“Selepas itu PAS perlu buat pendirian terhadap orang macam ini. Kita hendak tahu sejauh mana PAS boleh berkompromi dengan soal Islam ini,” jelasnya panjang lebar.

Beliau menyatakan demikian kepada Agendadaily Isnin ketika diminta mengulas kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Anwar, Khalid dan Zaid berhubung tindakannya membuat laporan polis terhadap Khalid dalam isu kalimah Allah.

Khalid dalam kenyataanya mempersoalkan kenapa Zulkifli menyamannya kerana pendiriannya sama dengan Anwar. Manakala Anwar pula menyifatkan Zulkifli sudah cross the line dan Zaid pula mahukan parti memecat Zulkifli sebagai ahli PKR.

Mengulas mengenai semua perkara itu, Zulkifli berkata, beliau tidak akan berganjak dengan pendiriannya walaupun terpaksa meninggalkan parti.

Ditanya adakah beliau ada berhubung dengan Anwar, beliau mengakui Anwar ada menghubunginya dan meminta beliau menghormati perbezaan pendapat dan menarik balik laporan polis terhadap Khalid.

“Saya juga hairan kenapa Anwar sebagai seorang yang mempunyai imej Islam yang kuat menyokong Kristian. Kita tahu ada dua pendapat berbeza dalam isu ini, ada ulama luar yang menyifatkan tidak salah agama lain guna kalimah Allah tetapi ulama besar dalam negara tidak bersetuju.

“Saya harapkan Anwar akan mengambil sikap bebas tetapi beliau menyokong pihak Kristian. Tapi itu saya boleh terima sebagai perbezaan pendapat. Tetapi kenyataan Khalid yang menyatakan enakmen Islam Selangor sudah ketinggalan zaman, bagi saya adalah satu penghinaan.

“Dalam soal kalimah Allah Khalid sudah tidak bertamaddun, keluar batas perbahasan. Dia hina Islam, hina sistem perundangan, hina Sultan, bagi saya dia biadap.

“Anwar minta saya tarik balik laporan polis, saya kata boleh jika Khalid memohon maaf kepada umat Islam dan kepada Sultan Selangor,” ujarnya panjang lebar. – 25/1/2010

APA NAK JADI NI ?



Cermin belakang kereta jenis Nissan X-Trail milik bekas pegawai Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Syed Azidi Syed Aziz @ blogger Kickdefella yang banyak buat pendedahan panas pasal pentabiran dan keluarga Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat dipecah dengan kapak di rumahnya di Kota Bharu jam 11.50 malam Ahad.Kejadian berlaku sejurus sebuah kereta jenis Proton Aeroback berhenti secara mengejut di depan rumahnya.Syed Azidi ialah bekas orang kanan Datuk Husam Musa.Beliau dipecat oleh menantu Nik Aziz iaitu Abdul Ariffahmi Abdul Rahman yang akan letak jawatan CEO PMBK pada hujung Mac ini.Menurut Syed Azidi tengahari Ahad beliau diberitahu oleh seorang ahli sebuah parti politik berhubung ada pihak mencarinya dan mengugut untuk memukulnya kerana postingnya yang negatif terhadap keluarga Menteri Besar Kelantan dan sebuah syarikat swasta.-11/1/2010

Ahli MIC interaksi menerusi Facebook

SEREMBAN 3 Jan. - Semua ahli MIC di pelbagai peringkat disarankan supaya menyertai dan berinteraksi menerusi laman sosial Facebook ke arah mempertingkatkan tahap komunikasi anggota parti berkenaan.
Ketua Wanita MIC, Datin Paduka M. Komala berkata, langkah itu adalah selari dengan peredaran masa dan arus pembangunan teknologi.
Menurutnya, inisiatif berkenaan boleh membantu mempertingkatkan taraf komunikasi ahli dalam melancarkan sebarang aktiviti dan pergerakan parti tersebut.
''Kini sudah tiba masanya, kita menggunakan teknologi sedia ada untuk berkomunikasi dengan lebih efisien.
''Pada masa ini, orang ramai khususunya generasi muda yang berumur di bawah 40 tahun lebih gemar untuk menggunakan Internet, blog, laman web, laman sosial seperti Facebook dan Twitter untuk berhubung selain dijadikan sumber rujukan dalam mencari informasi terkini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Bengkel Kemahiran Penggunaan Internet dan Laman Web di Wisma MIC negeri yang dirasmikan Pengerusi MIC negeri, Datuk T. Rajagopalu di sini hari ini.
Jelas Komala, pendekatan itu turut bertujuan bagi memudahkan orang ramai terutamanya kaum India menyuarakan cadangan, aduan atau masalah yang dihadapi mereka.
''Usaha ini akan memudahkan orang ramai dan kami untuk berkomunikasi secara dua hala dengan pantas.
''Sebarang masalah, aduan mahupun cadangan dapat di suarakan menerusi laman web bagi diambil tindakan sewajarnya dengan cepat," katanya.
Sementara itu, menurut Rajagopalu, langkah bijak itu seharusnya dilaksanakan oleh setiap ahli disemua peringkat secepat mungkin.
''Kita sudah masuk 2010 dan saya akan pastikan setiap ahli di negeri ini di semua peringkat termasuk akar umbi untuk memahirkan diri dengan dunia Internet dalam usaha merealisasikan matlamat tersebut.
''Berhubung menggunakan Internet merupakan salah satu cara kita dapat menghulurkan bantuan dengan cepat kepada golongan susah sekali gus menjamin kebajikan golongan terbabit dari terus terabai," katanya.

**Kesedaran yang bermanfaat untuk direbut.

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN 2010


UMNO DAN BN JERAI MENGUCAPKAN SELAMAT MENYAMBUT TAHUN 2010.  SEMOGA KEAMANAN DAN PERPADUAN TERUS DIPERKUKUH....

Arab Saudi Anggap Malaysia Contoh Negara Islam Progresif

28 Disember, 2009 00:36 AM



KUALA LUMPUR, 28 Dis (Bernama) -- Arab Saudi menganggap Malaysia sebagai model negara Islam progresif yang wajar dicontohi oleh negara-negara membangun lain.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan di sini Ahad mengenai lawatan dua hari Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman ke Arab Saudi, menjelaskan bahawa kerajaan Saudi menyatakan puashati terhadap hubungan bilateral yang wujud sekarang antara kedua-dua negara dan komited untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dalam bidang lain.

Sabtu, Anifah mengunjungi Menteri Kewangan Arab Saudi Ibrahim Abdul-Aziz al-Assaf, Menteri Luar Putera Saud al-Faisal Abdulaziz, dan Timbalan Perdana Menteri Kedua Putera Nayef Abdulaziz al-Saud.

Dalam pertemuan dengan Putera Saud, isu Palestin dan perkembangan politik dan keselamatan di rantau berkenaan baru-baru ini yang memberi kesan kepada Arab Saudi dan negara-negara Islam menjadi topik utama dibincangkan.

Putera Saud juga menggariskan bahawa kerajaan Saudi berhasrat meninjau bidang-bidang lain untuk kerjasama dengan Malaysia dan negara-negara Asean lain dari segi pengeluaran makanan dan eksport ke negara itu.

"Kedua-dua negara bersependapat bahawa terdapat keperluan untuk memperluas pelaburan bersama dalam bidang komoditi ke negara-negara ketiga dan bersetuju tentang perlunya kerjasama lebih baik ke arah penambahbaikan kepentingan Ummah.

Ia menyatakan Anifah juga menyampaikan penghargaan kerajaan dan rakyat Malaysia kepada kerajaan Saudi kerana layanan mesra dan keprihatinannya terhadap jemaah haji Malaysia.

"Putera Saud menyatakan bahawa kerajaan Saudi menghormati Malaysia sebagai sebuah negara contoh, memuji jemaah haji Malaysia dan menyifatkan mereka sebagai berdisiplin dengan tingkah laku yang baik," kata kenyataan itu.

Pada mesyuarat dengan Putera Nayef, Malaysia digesa memain peranan aktif untuk merapatkan jurang dan mengatasi pertikaian antara negara-negara Islam dan Ummah ke arah menyumbang kepada kestabilan di rantau ini dan perpaduan Ummah.

Hari Ahad, Anifah menghadap Raja Abdullah Abdulaziz al-Saud, Penjaga dua Masjid Suci.

-- BERNAMA

Lapan Pilihan Raya Kecil Warnai Politik Negara Pada 2009

27 Disember, 2009 11:42 AM

Oleh Syed Azwan Syed Ali

KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Senario politik negara tahun ini diwarnai lapan pilihan raya kecil, dua bagi kerusi Parlimen dan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dan keputusan lapan pilihan raya kecil itu menunjukkan bahawa demokrasi masih subur di negara ini kerana pakatan pembangkang terdiri DAP-PKR-PAS menang kedua-dua kerusi Parlimen dan empat daripada enam kerusi DUN itu.

Siri pilihan raya itu bermula bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu ekoran kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail daripada Barisan Nasional akibat serangan jantung ketika sedang bermain badminton pada 28 Nov 2008.

Pada pilihan raya kecil yang diadakan pada 17 Jan 2009, Mohd Abdul Wahid Endut daripada Pas menewaskan Datuk Wan Abdul Farid Wan Salleh daripada Barisan Nasional dan calon bebas, Azharuddin Mamat, dengan majoriti 2,631 undi.

Kemudian pada 7 April, sejarah tercipta apabila tiga pilihan raya kecil dijalankan secara serentak iaitu bagi kawasan Parlimen Bukit Gantang di Perak serta kerusi DUN Bukit Selambau di Kedah dan kerusi DUN Batang Ai di Sarawak.

Kerusi Bukit Gantang dan Batang Ai kosong kerana kematian wakil rakyat masing-masing manakala di Bukit Selambau, ia disebabkan ADUN di situ daripada PKR meletak jawatan.

Satu rekod dicipta di Bukit Selambau apabila 15 calon bertanding.

Kerusi itu dimenangi S.Manikumar daripada PKR. Kecuali calon BN, Datuk S.Ganesan, yang lain hilang wang pertaruhan.

Kerusi Bukit Gantang dimenangi wakil Pas manakala Batang Ai pula dikuasai BN.

Akibat masalah dalaman politik di Pulau Pinang, kerusi DUN Penanti dikosongkan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 ketika itu, Mohammad Fairus Khairuddin daripada PKR.

BN membuat kejutan dengan memutuskan untuk tidak bertanding kerana menganggap kekosongan itu bukannya berlaku akibat kematian penyadang tetapi sengaja dikosongkan oleh PKR untuk membolehkan seorang wakilnya yang lain bertanding di situ.

Suhu politik negara kemudian dipanaskan dengan kekosongan kerusi DUN Manik Urai di Kelantan ekoran kematian penyandangnya Ismail Yaacob dari Pas akibat serangan jantung pada 22 Mei.

Berbanding Penanti yang tidak meriah, senario di Manik Urai menjadi tumpuan penganalisis politik bagi mengukur sejauh mana keupayaan BN untuk menembusi "kubu kuat" Pas itu.

Keputusan agak mengejutkan kerana calon BN Tuan Aziz Tuan Mat kalah dengan hanya 65 undi berbanding majoriti 1,352 yang diraih oleh Pas pada pilihan raya umum tahun lepas.

"Kejayaan" itu mendorong Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berkata : "Inilah kali pertama saya terima ucapan tahniah kerana kita kalah."

Sebulan kemudian, satu lagi kerusi DUN Pulau Pinang, Permatang Pasir, menjadi kosong akibat kematian penyandangnya Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman daripada Pas, juga kerana sakit jantung. Dan dalam pilihan raya kecil kemudiannya, wakil parti itu Mohd Salleh Man menewaskan Rohaizat Othman daripada BN dengan majoriti 4,551 undi.

Selang beberapa minggu kemudiannya, kematian ADUN Bagan Pinang di Negeri Sembilan, Azman Mohammad Noor daripada BN, membolehkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, bertanding menentang Pesuruhjaya PAS negeri, Zulkefly Mohamad Omar.

Seperti dijangka, Mohd Isa menang dengan yang memperoleh 8,013 undi menewaskan lawannya itu dengan majoriti 5,435 undi iaitu 110 peratus peningkatan berbanding majoriti 2,333 undi yang dicatat oleh BN pada pilihan raya umum lepas.

Pada 24 Nov lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya mendapat perintah Mahkamah Rayuan bagi penggantungan keputusan Mahkamah Tinggi mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Kedah kawasan Kota Siputeh, ekoran kegagalan wakil rakyatnya, Datuk Abu Hassan Sarif daripada BN, menghadiri persidangan sebanyak dua kali berturut-turut.

-- BERNAMA

Gerakan Tidak Berhak Tolak Permintaan Umno Negeri

20 Disember, 2009 21:53 PM


PULAU PINANG, 20 Dis -- Parti Gerakan tidak berhak menolak permintaan pemimpin Umno negeri untuk jawatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang kerana segalanya terpulang kepada Presiden BN yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Zainal Abidin Osman berkata Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon seharusnya melihat permintaan Umno negeri itu secara positif kerana cadangan itu dibuat demi kepentingan BN di negeri ini dan mempunyai rasionalnya.

Beliau mengulas kenyataan Tsu Koon yang juga penyandang jawatan tersebut semalam yang menolak permintaan pemimpin Umno negeri supaya jawatan Pengerusi BN yang kini dipegang oleh Gerakan selama lebih 35 tahun, diserahkan kepada parti berkenaan.

"Jawatan tersebut bukannya hak turun-temurun atau hak seumur hidup kepada mana-mana individu mahu pun parti, maka adalah tidak salah permintaan yang dibuat Umno Pulau Pinang itu dipertimbangkan sebaik-baiknya," kata beliau ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata sejak dua tahun kebelakangan ini, Tsu Koon selaku Pengerusi BN negeri ini telah gagal menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepada beliau terutama dalam menggerakkan parti komponen BN bagi menjalankan pelbagai aktiviti untuk kepentingan rakyat negeri ini terutama di peringkat akar umbi.

Di KUALA LUMPUR, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyokong cadangan tersebut demi mengembalikan keyakinan rakyat negeri itu terhadap kerajaan pimpinan BN.

"Ini bukan bererti bahawa Umno hendak monopoli BN Pulau Pinang, tetapi hakikatnya Umno ada 11 kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) dan dua Parlimen di sana. BN Pulau Pinang perlukan parti yang ada kekuatan.

"Beliau tidak lagi boleh sentimental dan perlu melihat kepada realiti. Kita nak merampas Pulau Pinang balik pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, jadi kita perlulah sepakat. Ini bukan soal parti tetapi perjuangan, bagaimana kita nak yakinkan rakyat kepada BN," katanya.

Ditanya adakah nanti akan wujud pergeseran dalam BN Pulau Pinang ekoran kenyataan itu, Reezal berkata perbezaan pendapat di kalangan komponen parti bukanlah sesuatu yang baru dan berharap perkara itu dibincangkan di peringkat tertinggi BN.

Reezal Merican yang juga Ketua Penerangan Pemuda Umno turut mencadangkan jawatan Pemuda BN Pulau Pinang diberikan kepada Umno.

-- BERNAMA