PANDANGAN DARI BEKAS-BEKAS PEMIMPIN NEGARA MENGENAI BTN


Modul BTN Perlu Dikekalkan - Dr Mahathir
KUALA LUMPUR: Modul Biro Tatanegara (BTN) perlu dikekalkan dan tidak dirombak kerana ia sudah cukup baik dalam memupuk semangat kenegaraan di kalangan rakyat, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas Perdana Menteri itu berpendapat kurikulum BTN dapat memupuk semangat perpaduan kerana kursus anjuran agensi itu turut dihadiri rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
"Tidak perlu dirombak... saya ingat kekal (modul BTN)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Aids Sedunia 2009 di sini semalam.
Baru-baru ini Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata kurikulum BTN akan dirombak bagi mencerminkan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tub Razak.
Isu kursus anjuran BTN mendapat perhatian ramai apabila kerajaan Negeri Selangor baru-baru ini melarang kakitangan awam dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) milik negeri mengikuti kursus berkenaan berkuatkuasa serta-merta kerana didakwa sebagai proses doktrinisasi oleh Barisan Nasional (BN) hingga mencetuskan fenomena perkauman, memecah-belahkan penduduk pelbagai kaum, agama dan menimbulkan kebencian kepada pembangkang.
Mengulas lanjut Dr Mahathir berkata, tidak ada apa-apa yang tidak betul mengenai kursus BTN kerana kurikulumnya cukup baik untuk memberi kesedaran tentang pentingnya kehidupan bernegara.
Malah katanya beliau juga pernah memberikan syarahan pada kursus anjuran BTN dan antara perkara yang diterangkan ialah mengenai sejarah Malaysia.
"Kadang-kadang ramai orang tidak faham nilai yang dapat menerusi kursus BTN. Saya tidak nampak BTN buruk selain dapat diterangkan tentang sejarah negara," katanya.
Sementara itu ketika mengulas saranan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya pemerhati bebas dari Australia dilibatkan bagi memantau perjalanan Pilihan Raya Umum Ke-13, Dr Mahathir dengan sinis berkata: "Kalau orang putih dia percaya, kalau orang Melayu dia tak percaya."
Mengenai langkah kerajaan merancang memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pula Dr Mahathir berkata, perlu ada kajian mendalam mengenai perkara itu supaya tidak membebankan rakyat. Sebelum ini, Perdana Menteri menjelaskan bahawa pengenalan GST di Malaysia adalah satu bentuk keperluan jangka panjang memandangkan pergantungan negara kepada sektor petroleum sebagai penyumbang utama pendapatan perlu diganti dari sekarang. BERNAMA



 

2.  BTN tidak bersifat perkauman - Tun Abdullah

11/12/2009 4:20pm

KUALA LUMPUR 11 Dis. - Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, kursus Biro Tata Negara (BTN) yang dianjurkan oleh Jabatan Perdana Menteri tidak bersifat perkauman.
"Tapi kalau ada mana-mana individu yang bersifat perkauman, itu saya tak tahu,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Kerja dan penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang Institut Kefahaman Malaysia (IKIM) 2009 di sini hari ini.
Abdullah berkata, BTN bertujuan memupuk semangat patriotisme, membina sikap berteraskan nilai murni dan penghayatan cintakan negara dalam kalangan warga negara.
Isu mengenai BTN timbul apabila kerajaan Selangor yang diterajui pakatan PKR, DAP dan Pas melarang kakitangan kerajaan negeri dan pelajar daripada institusi pengajian milik kerajaan negeri daripada menghadiri kursus anjuran biro itu dengan mendakwa ianya bersifat perkauman dan cuba mempengaruhi peserta untuk menyokong Barisan Nasional.
"Tak usah kita riuh pasal perkara ini. Kita mahukan sesebuah institusi itu dapat diteruskan dengan niat yang baik untuk meningkatkan kesedaran mengenai programnya,” kata Abdullah yang pernah menjadi menteri bertanggungjawab bagi BTN pada tahun 1981.
Bagaimanapun Abdullah menyambut baik rombakan kurikulum BTN yang dicadangkan kabinet minggu lepas agar selaras dengan konsep 1Malaysia. - Bernama

Responses to "PANDANGAN DARI BEKAS-BEKAS PEMIMPIN NEGARA MENGENAI BTN"

Write a comment