SEDEKAH SAYUR

Meriah pilih sayur percuma


GUAR CHEMPEDAK - Suasana di Pekan Rabu di sini gempar apabila orang ramai berkerumun mendapatkan sayur-sayuran percuma sumbangan oleh seseorang yang tidak mahu dikenali.

Keadaan menjadi meriah dengan suara orang ramai yang sibuk memilih 13 jenis sayur-sayuran yang disumbangkan seawal jam 8 pagi sehingga kira-kira jam 11 pagi.

“Ini adalah kali pertama ada sedekah besar-besaran seperti ini, di sini,” kata peniaga yang menguruskan sumbangan itu, A Rahman Hassan.

‘Tangan kanan memberi, tangan kiri tidak tahu’. Begitulah perumpamaan yang boleh diberikan kepada individu yang memberikan sayur percuma kepada orang ramai baru-baru ini.

Penyumbang sayuran itu tidak mahu dikenali tetapi hanya ingin menghulurkan sayuran itu kepada orang ramai supaya turut sama gembira mendapatkan sayur percuma di tapak Pekan Rabu di sini.

Usaha murni ini dilihat sebagai satu langkah baik yang dapat membentuk sifat sedekah dalam kalangan masyarakat.
A Rahman Hassan, 53, berkata, inilah sifat orang Islam yang gemar membuat kebajikan.

“Penyumbang sayur tidak mahu dikenali kerana niat mereka bersedekah. Justeru, jika bersedekah tidak perlu dinyatakan individunya.
“Sebanyak 13 jenis sayuran diberikan pada hari berkenaan bermula jam 8 pagi dan berakhir pada jam 11 pagi,” katanya.

Menurutnya, ramai yang hadir ketika sayur mula diberikan kepada orang ramai. Hal seumpama itu adalah pertama kali dijalankan di sini.

“Mungkin selepas ini akan dibuat di Pendang pula. Pemberian seumpama ini menunjukkan sifat keprihatinan peniaga kepada orang ramai dengan memberi sayur secara percuma,” katanya.

Responses to "SEDEKAH SAYUR"

Write a comment