Gerakan Tidak Berhak Tolak Permintaan Umno Negeri

20 Disember, 2009 21:53 PM


PULAU PINANG, 20 Dis -- Parti Gerakan tidak berhak menolak permintaan pemimpin Umno negeri untuk jawatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang kerana segalanya terpulang kepada Presiden BN yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Zainal Abidin Osman berkata Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon seharusnya melihat permintaan Umno negeri itu secara positif kerana cadangan itu dibuat demi kepentingan BN di negeri ini dan mempunyai rasionalnya.

Beliau mengulas kenyataan Tsu Koon yang juga penyandang jawatan tersebut semalam yang menolak permintaan pemimpin Umno negeri supaya jawatan Pengerusi BN yang kini dipegang oleh Gerakan selama lebih 35 tahun, diserahkan kepada parti berkenaan.

"Jawatan tersebut bukannya hak turun-temurun atau hak seumur hidup kepada mana-mana individu mahu pun parti, maka adalah tidak salah permintaan yang dibuat Umno Pulau Pinang itu dipertimbangkan sebaik-baiknya," kata beliau ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata sejak dua tahun kebelakangan ini, Tsu Koon selaku Pengerusi BN negeri ini telah gagal menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepada beliau terutama dalam menggerakkan parti komponen BN bagi menjalankan pelbagai aktiviti untuk kepentingan rakyat negeri ini terutama di peringkat akar umbi.

Di KUALA LUMPUR, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyokong cadangan tersebut demi mengembalikan keyakinan rakyat negeri itu terhadap kerajaan pimpinan BN.

"Ini bukan bererti bahawa Umno hendak monopoli BN Pulau Pinang, tetapi hakikatnya Umno ada 11 kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) dan dua Parlimen di sana. BN Pulau Pinang perlukan parti yang ada kekuatan.

"Beliau tidak lagi boleh sentimental dan perlu melihat kepada realiti. Kita nak merampas Pulau Pinang balik pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, jadi kita perlulah sepakat. Ini bukan soal parti tetapi perjuangan, bagaimana kita nak yakinkan rakyat kepada BN," katanya.

Ditanya adakah nanti akan wujud pergeseran dalam BN Pulau Pinang ekoran kenyataan itu, Reezal berkata perbezaan pendapat di kalangan komponen parti bukanlah sesuatu yang baru dan berharap perkara itu dibincangkan di peringkat tertinggi BN.

Reezal Merican yang juga Ketua Penerangan Pemuda Umno turut mencadangkan jawatan Pemuda BN Pulau Pinang diberikan kepada Umno.

-- BERNAMA

PANDANGAN DARI BEKAS-BEKAS PEMIMPIN NEGARA MENGENAI BTN


Modul BTN Perlu Dikekalkan - Dr Mahathir
KUALA LUMPUR: Modul Biro Tatanegara (BTN) perlu dikekalkan dan tidak dirombak kerana ia sudah cukup baik dalam memupuk semangat kenegaraan di kalangan rakyat, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas Perdana Menteri itu berpendapat kurikulum BTN dapat memupuk semangat perpaduan kerana kursus anjuran agensi itu turut dihadiri rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
"Tidak perlu dirombak... saya ingat kekal (modul BTN)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Aids Sedunia 2009 di sini semalam.
Baru-baru ini Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata kurikulum BTN akan dirombak bagi mencerminkan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tub Razak.
Isu kursus anjuran BTN mendapat perhatian ramai apabila kerajaan Negeri Selangor baru-baru ini melarang kakitangan awam dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) milik negeri mengikuti kursus berkenaan berkuatkuasa serta-merta kerana didakwa sebagai proses doktrinisasi oleh Barisan Nasional (BN) hingga mencetuskan fenomena perkauman, memecah-belahkan penduduk pelbagai kaum, agama dan menimbulkan kebencian kepada pembangkang.
Mengulas lanjut Dr Mahathir berkata, tidak ada apa-apa yang tidak betul mengenai kursus BTN kerana kurikulumnya cukup baik untuk memberi kesedaran tentang pentingnya kehidupan bernegara.
Malah katanya beliau juga pernah memberikan syarahan pada kursus anjuran BTN dan antara perkara yang diterangkan ialah mengenai sejarah Malaysia.
"Kadang-kadang ramai orang tidak faham nilai yang dapat menerusi kursus BTN. Saya tidak nampak BTN buruk selain dapat diterangkan tentang sejarah negara," katanya.
Sementara itu ketika mengulas saranan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya pemerhati bebas dari Australia dilibatkan bagi memantau perjalanan Pilihan Raya Umum Ke-13, Dr Mahathir dengan sinis berkata: "Kalau orang putih dia percaya, kalau orang Melayu dia tak percaya."
Mengenai langkah kerajaan merancang memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pula Dr Mahathir berkata, perlu ada kajian mendalam mengenai perkara itu supaya tidak membebankan rakyat. Sebelum ini, Perdana Menteri menjelaskan bahawa pengenalan GST di Malaysia adalah satu bentuk keperluan jangka panjang memandangkan pergantungan negara kepada sektor petroleum sebagai penyumbang utama pendapatan perlu diganti dari sekarang. BERNAMA



 

2.  BTN tidak bersifat perkauman - Tun Abdullah

11/12/2009 4:20pm

KUALA LUMPUR 11 Dis. - Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, kursus Biro Tata Negara (BTN) yang dianjurkan oleh Jabatan Perdana Menteri tidak bersifat perkauman.
"Tapi kalau ada mana-mana individu yang bersifat perkauman, itu saya tak tahu,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Kerja dan penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang Institut Kefahaman Malaysia (IKIM) 2009 di sini hari ini.
Abdullah berkata, BTN bertujuan memupuk semangat patriotisme, membina sikap berteraskan nilai murni dan penghayatan cintakan negara dalam kalangan warga negara.
Isu mengenai BTN timbul apabila kerajaan Selangor yang diterajui pakatan PKR, DAP dan Pas melarang kakitangan kerajaan negeri dan pelajar daripada institusi pengajian milik kerajaan negeri daripada menghadiri kursus anjuran biro itu dengan mendakwa ianya bersifat perkauman dan cuba mempengaruhi peserta untuk menyokong Barisan Nasional.
"Tak usah kita riuh pasal perkara ini. Kita mahukan sesebuah institusi itu dapat diteruskan dengan niat yang baik untuk meningkatkan kesedaran mengenai programnya,” kata Abdullah yang pernah menjadi menteri bertanggungjawab bagi BTN pada tahun 1981.
Bagaimanapun Abdullah menyambut baik rombakan kurikulum BTN yang dicadangkan kabinet minggu lepas agar selaras dengan konsep 1Malaysia. - Bernama

UMNO P.Pinang Sambut Baik Keputusan MT Tarik Balik Penggantungan Ahmad







09 Disember, 2009 17:25 PM

PULAU PINANG, 9 Dis (Bernama) -- Umno Pulau Pinang menyambut baik keputusan Majlis Tertinggi Umno untuk menarik balik penggantungan Datuk Ahmad Ismail selama tiga tahun dari September kerana mengeluarkan kenyataan sensitif semasa berkempen.

Setiausaha Umno negeri Datuk Azhar Ibrahim berkata beliau menyambut baik keputusan penarikan balik penggantungan Ahmad kerana beliau (Ahmad) masih merupakan orang penting bagi Umno.

"Saya percaya Majlis Tertinggi parti telah menimbangkan perkara itu secara serius sebelum membuat keputusan itu dan Umno Pulau Pinang sentiasa mengalu-alukan kepulangan Ahmad," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor Rabu dilaporkan berkata Majlis Tertinggi Umno yang bermesyuarat pada Jumaat memutuskan untuk menarik balik penggantungan Ahmad.

Ahmad, bekas Ketua Umno Bukit Bendera, semasa dihubungi berkata beliau bersyukur kerana perjuangan parti kembali ke landasan dan mengucapkan terima kasih kepada presiden dan timbalan presiden parti atas pertimbangan mereka.

Beliau digantung daripada parti selama tiga tahun dari September berikutan kritikan orang ramai selepas beliau menganggap bukan Melayu sebagai "pendatang" semasa berkempen dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh tahun lepas.

-- BERNAMA

____________________________________________________________________________________



Kes Ahmad: UMNO lega, Gerakan kecewa

BUTTERWORTH 10 Dis. - UMNO Pulau Pinang menyambut baik keputusan Majlis Tertinggi (MT) menarik balik hukuman penggantungan selama tiga tahun yang dikenakan terhadap bekas Ketua UMNO Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Azhar Ibrahim, tindakan itu wajar memandangkan Ahmad sudah pun menjalani hukuman ekoran kenyataan kontroversinya ketika berkempen dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh, Ogos tahun lalu.
''Kita percaya keputusan ini (menarik balik hukuman) sudah difikirkan semasak-masaknya oleh pihak MT selepas mengambil kira perkara-perkara yang wajar diberi pertimbangan.
''Dari segi kewajarannya pun, Ahmad sudah pun menjalani hukuman dan beliau masih bersungguh- sungguh untuk membantu UMNO mendekati rakyat terutamanya di Pulau Pinang," katanya semalam.
Sementara itu, Ahmad yang dihubungi menyatakan rasa syukur serta berterima kasih kepada pucuk pimpinan parti berhubung perkara itu dan bertekad untuk terus membantu UMNO menabur bakti kepada rakyat negeri ini.
''Selama ini pun (dalam tempoh penggantungan) saya tetap berjuang dengan parti apabila dilantik sebagai Penasihat kepada UMNO Bahagian Bukit Bendera," katanya.
Sementara itu Gerakan Pulau Pinang kecewa dan terkejut dengan keputusan tersebut.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, Gerakan berpendapat keputusan tersebut bertentangan dengan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.



Jangan terperangkap politik DAP

Jangan terperangkap politik DAP

KUALA LUMPUR 9 Dis. – Ahli-ahli UMNO dinasihatkan supaya tidak terperangkap dengan mainan politik DAP yang sengaja mempertikaikan dasar ketuanan Melayu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, DAP sudah ketandusan isu sehingga menimbulkan kembali perkara itu.
“Ini adalah mainan politik DAP yang sekarang sudah kering idea. Jangan sekali-kali kita terperangkap dengan tindakan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan DAP yang terus mempersoalkan ketuanan Melayu dan bertegas akan terus membangkitkan dasar itu yang disifatkan tidak adil untuk kaum lain.
Naib Pengerusi DAP, M. Kulasegaran ketika membangkitkan perkara itu baru-baru ini berkata, tindakan tersebut akan terus dilakukan kerana bimbang tentang masa depan hubungan antara kaum di negara ini.
Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, mungkin perkataan ketuanan Melayu membawa konotasi yang boleh menimbulkan keresahan, tetapi dari segi sejarah ia tidak boleh diubah.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, tindakan DAP yang terus mempersoalkan ketuanan Melayu akan menjejaskan hubungan baik antara kaum yang terjalin sejak sekian lama.
“Saya amat kecewa dengan tindakan DAP ini. Ia jelas sebagai cubaan mereka untuk mewujudkan ketegangan kaum di negara ini,” jelasnya.
Rosnah berkata, tindakan DAP itu tidak menghormati kontrak sosial yang menjadi landasan kepada perpaduan kaum di negara ini.
“Ia merupakan sikap angkuh DAP yang sengaja membangkitkan isu ini bagi menarik perhatian rakyat terhadap mereka.
“DAP tidak sepatutnya membangkitkan isu ketuanan Melayu. Jika mereka masih berdegil ia wajar ditentang supaya perpaduan kaum dalam negara ini tidak terjejas disebabkan tindakan mereka yang mementingkan diri sendiri,” katanya.

Kena Sayang Parti Jangan Sayang Diri Sendiri - Mahathir



LANGKAWI, 4 Dis (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menasihatkan pemimpin MCA yang bertelagah agar meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan diri dalam menyelesaikan kemelut dalaman parti itu.

"Kena sayang parti, sayang bangsa, sayang negara, jangan sayang diri sendiri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penghargaan untuknya oleh syarikat Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd di Pameran Antarabangsa Maritim dan Udara Langkawi (LIMA) di sini Jumaat.

LIMA 2009 yang berlangsung lima hari berakhir Sabtu.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta agar permasalahan yang berlaku dalam MCA diselesaikan dengan secepat mungkin bagi membolehkan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu memulakan proses pemulihannya.

-- BERNAMA

MAJLIS SUMBANGAN BEG SEKOLAH OLEH YB DR LEONG, ANJURAN PUTERI UMNO BAHAGIAN JERAI

1/12/2009
Hari ini telah diadakan satu majlis kecil tetapi bermakna lagi bernilai didalam DUN Gurun dimana Puteri UMNO Bahagian Jerai yang dipimpin oleh Hafizatul Nisa bt Mat Isa telah menganjurkan satu majlis untuk memberi sumbangan berupa beg sandang sekolah kepada murid-murid sekolah yang telah dipilih oleh UMNO-UMNO cawangan dalam DUN Gurun yang berjumlah 55 cawangan.















Dua Orang Kuat PKR Papar Sertai UMNO

PAPAR, 29 Nov (Bernama) -- Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Papar Awang Mumin Awang Marali dan Ketua Pemuda bahagian itu yang juga Setiausaha Pemuda PKR negeri Faizal Julaili mengisytiharkan keluar dari parti itu dan menyertai Umno.

Kedua-dua 'orang kuat' PKR Papar itu menyerahkan borang keanggotaan kepada Ketua Umno Bahagian Papar yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pantai Manis Datuk Abdul Rahim Ismail di dua majlis yang berbeza, dekat sini pada Ahad.

Pada majlis itu, Awang Mumin dan Faizal berikrar akan taat setia kepada Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Abdul Rahim berkata rakyat khususnya penyokong pembangkang kini mulai sedar dan menaruh keyakinan yang tinggi terhadap kerajaan BN dan Umno.

Katanya ini kerana mereka yakin hanya dengan BN sahaja akan dapat menjamin kestabilan pembangunan, ekonomi dan politik di Sabah.

Abdul Rahim berkata perubahan dan pendekatan yang dilakukan oleh Umno di bawah kepimpinan Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak juga membuktikan parti itu sentiasa mengutamakan rakyat di akar umbi.

"Penduduk Sabah kini meletakkan harapan tinggi kepada BN dan UMNO untuk mengembalikan kegemilangan ekonomi dan mengukuhkan kestabilan politik.

"Menyokong pembangkang bukanlah pilihan terbaik bagi rakyat Sabah kerana ini hanya membantut segala usaha dan pembangunan sosio-ekonomi yang telah, sedang dan akan dilaksanakan kerajaan BN," katanya.

-- BERNAMA